McDonald's dekati masyarakat di utara tanahair dengan sumbangan lebih RM500,000

Seronok tengok Program Komuniti yang dianjurkan oleh McDonalds. Kali ni nak tahu tak program komuniti di mana pula? Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Perlis menyaksikan McDonald’s Malaysia menyampaikan sumbangan berjumlah RM507,500 bagi meringankan beban golongan kurang bernasib baik di negeri ini. Pelbagai inisiatif diumumkan di bawah Program Komuniti yang dianjurkan, termasuklah pembayaran zakat perniagaan McDonald’s, pelantikan belia-belia untuk menyertai SLDN McDonald’s dan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah”.




Sejumlah RM507,500 disumbangkan oleh McDonald’s Malaysia melalui Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Perlis untuk meringankan beban golongan memerlukan di negeri ini. Inisiatif-inisiatif yang diumumkan termasuklah penyerahan zakat perniagaan bagi tahun 2019, penyerahan sijil pelantikan kepada pelatih Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s, dan penyerahan pek “Kembali ke Sekolah”.



“Kami berhasrat mewujudkan impak positif kepada masyarakat di sekitar lokasi restoran kami. Komitmen  kearah kesejahteraan masyarakat merupakan sesuatu yang cukup dekat di hati warga kerja McDonald’s malah ia juga merupakan nilai teras syarikat. Besar harapan kami agar sumbangan yang disampaikan mampu mengukir senyuman kegembiraan kepada golongan yang memerlukan di negeri Perlis ini,” kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia.



Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mencemar duli menjadi tetamu kehormat majlis tersebut, yang diadakan sempena Program Kayuhan “MAIPs Peduli” kali ke-93. Baginda hadir menyempurnakan Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Perlis selepas mengadakan lawatan berbasikal di sekitar kawasan kampung di negeri ini untuk penyerahan zakat kepada golongan masyarakat yang memerlukan. 


 (dua dari kiri) Encik Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia ketika menyerahkan bayaran zakat perniagaan McDonald’s Malaysia bagi negeri Perlis untuk tahun 2019 kepada (tiga dari kiri) DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis.


(dua dari kiri) Encik Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia dan (tiga dari kiri) DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis ketika menyerahkan sijil pelantikan kepada salah seorang belia yang terpilih untuk menyertai Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s.



Baginda yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs komited melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan memandangkan ia juga sebahagian daripada usaha berterusan MAIPs, bagi memastikan nasib golongan masyarakat yang memerlukan di negeri ini terus terpelihara.



“Kami gembira melihat syarikat korporat seperti McDonald’s tampil kehadapan membantu golongan kurang berkemampuan di Perlis. Apa yang dilaksanakan oleh syarikat khidmat segera tersebut wajar dipuji dan dijadikan contoh. Program Komuniti McDonald’s yang dilaksanakan ini amat bertepatan dengan visi kami untuk memacu pembangunan ummah cemerlang menjelang 2020 menerusi nilai-nilai kemanusiaan dan sikap prihatin terhadap keperluan masyarakat,” kata Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). 



Agihan zakat perniagaan McDonald’s Malaysia

McDonald’s Malaysia memenuhi kewajipan zakatnya kepada negeri Perlis untuk tahun 2019 dengan bayaran zakat berjumlah RM101,000. 


McDonald's Malaysia baru-baru ini turut menerima Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), dan merupakan entiti perniagaan pertama yang menerima sijil pengiktirafan tersebut di Malaysia.


"Sebagai sebuah entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam, ianya merupakan tuntutan agama untuk kami mengeluarkan zakat apabila cukup haul untuk diagihkan kepada golongan masyarakat yang memerlukan. Kami telah membayar zakat sejak tahun 2017 setelah diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd. iaitu sebuah anak syarikat Reza Group dari Arab Saudi," kata Azmir.



Inisiatif pekerjaan untuk belia melalui SLDN McDonald’s 

Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s merupakan program latihan berteraskan industri selama 18 bulan menggabungkan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30 peratus kelas teori di bilik darjah. Program ini diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia – salah satu usaha restoran khidmat segera itu untuk meningkatkan piawaian pembangunan modal insan syarikat dan memupuk bakat baharu, sejajar dengan agenda negara.


Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia dan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis ketika sesi lawatan restoran McDonald’s Pandu-Lalu Kangar, Perlis.


"Kami teruja untuk mengalu-alukan para belia dari negeri Perlis untuk menyertai program latihan kami ini. Diharap melalui program ini, belia yang terpilih akan mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk memajukan diri dan memulakan karier yang menjamin masa depan seterusnya meningkatkan status ekonomi keluarga masing-masing," kata Azmir.



Program ini adalah sebahagian daripada Program Komuniti yang dianjurkan untuk belia daripada golongan kurang berkemampuan. Sebaik sahaja para pelatih lulus penilaian dan ujian akhir program ini, mereka layak bekerja di restoran McDonald's. Setakat ini, terdapat 650 pelatih sedang menjalani SLDN McDonald’s. 



Setiap pelatih menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM1,200, faedah perubatan dan insurans, serta makanan percuma.



Program “Kembali ke Sekolah”

Lebih 1,000 kanak-kanak dari 36 sekolah di seluruh negeri Perlis menerima pek “Kembali ke Sekolah” tahun ini. Program “Kembali ke Sekolah” adalah inisiatif tahunan yang diterajui oleh McDonald's Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.


(dua dari kiri) DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis memakaikan pakaian seragam yang baharu untuk salah seorang kanak-kanak sekolah rendah sebagai simbolik penyerahan pek ‘Kembali ke Sekolah’ semasa Program Komuniti McDonald’s  Peringkat Negeri Perlis 2019. (kiri) Encik Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia; (kanan) Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan (dua dari kanan) YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail Ibni Tuanku Syed Faizuddin Putra, anakanda Raja Muda Perlis turut serta di atas pentas.



Program “Kembali ke Sekolah” 2019 yang dilancarkan di Kuala Lumpur pada pertengahan Oktober lalu, merupakan yang terbesar setakat ini – dengan jumlah sumbangan mencecah RM3 juta bagi membolehkan seramai 30,000 kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah dan miskin bandar di seluruh negara menerima pek "Kembali ke Sekolah" menjelang tahun persekolahan 2020. Ia bakal disampaikan secara berperingkat di negeri-negeri seluruh Malaysia sehingga penghujung tahun ini.



Pek "Kembali ke Sekolah" yang diagihkan mengandungi satu set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, sepasang stoking dan beg sekolah bernilai RM100.



Pada tahun 2018, McDonald's Malaysia dan RMHC Malaysia telah menyampaikan pek "Kembali ke Sekolah" bernilai RM1.7 juta kepada 17,000 kanak-kanak sekolah rendah. Tahun sebelum itu pula menyaksikan McDonald's dan RMHC membantu 6,000 pelajar menerusi jumlah sumbangan sebanyak RM1.2 juta.



RMHC Malaysia merupakan badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia yang bermatlamat membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia. Hubungi ibu pejabat RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388 atau layari https://rmhc-malaysia.my/get-involved/make-a-donation/ jika anda berminat menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan untuk RMHC Malaysia.



Warga kerja McDonald’s dan Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama-sama DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis bergambar mesra bersama penduduk kampung ketika lawatan berbasikal, Program “MAIPs Peduli” di negeri Perlis untuk penyerahan zakat kepada golongan masyarakat yang memerlukan.




10 comments

  1. Tahniah McD !! Sentiasa menghulurkan sumbangan kepada golongan yang amat memerlukan bantuan. Keprihatinan yang perlu dicontohi oleh organisasi lain agar dapat membantu mereka yang kurang upaya dari pelbagai aspek

    ReplyDelete
  2. Nak puji McDonald's kerana ada aktiviti seumpama ini. Kalau ada lagi organisasi seperti ini patut diberikan pujian. Ada juga yang mereka beri balik kepada orang lain.

    ReplyDelete
  3. Tahniah McD di atas usaha mendekati dan give back to community sebegini. Moga usaha sebegini dapat diperluaskan ke Sabah dan Sarawak juga.

    ReplyDelete
  4. Sukalah tgok mcd, macam2 program csr diaorg buat, sekurang kurangnya dapat membantu mereka yg memerlukan. Sure anak2 ni gembira dpt brgan sek

    ReplyDelete
  5. Bagusnya mcdonald ni taja program back to school. NI yang semangat nak makan mcd malam ni. hehe.

    ReplyDelete
  6. Bagus betul McDonalds ni. Selalu buat event CSR macam ni kan. Hopefully dieorang akan terus buat aktiviti macam ni. Ramai yang maish memerlukan bantuan dan kesedaran macam ni

    ReplyDelete
  7. Tahniah McD buat program macam ni. Semoga dapat teruskan membantu golongan yang memerlukan

    ReplyDelete
  8. Bagus sangat McDonalds buat macam ni..dapat bantu golongan miskin bandar..dapat meringakn beban mereka..semoga apa yang diberi digunakan dengan betul oleh mereka

    ReplyDelete
  9. bagus yer usaha murni Mcd ni, dapat ringankan beban golongan yang kurang bermampuan.

    ReplyDelete
  10. This is a great csr program! Love seeing this kind of program. Hope more organisation can do this like them

    ReplyDelete